Wednesday 7 December 2011

MELANCONG KE MELAKA - SEJARAH MELAKA


Asal Melaka bersempena peristiwa pengembaraan Parameswara

Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Sejarah Melaka bermula apabila Parameswara putera raja dari Palembang telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit, baginda telah lari mencari perlindungan ke Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari Temasik oleh penjajah dari Siam, pada tahun 1396, beliau dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara sungai Melaka.Setelah tiba di Bertam, baginda telah melihat anjing perburuannya ditendang oleh seekor pelanduk putih. Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk putih tersebut dan membuat keputusan untuk membuka negeri di situ. Baginda telah bertanyakan nama pohon tempat baginda bersandar dan pengikutnya memberitahu bahawa nama pohon tersebut adalah pohon Melaka. Maka baginda telah membuat keputusan untuk menamakan negerinya sempena nama pohon tersebut.


Melaka pusat perdangangan
Pilihan Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan Melaka yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan. Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. Parameswara yang telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414 telah meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai pusat perdagangan dan pengembangan agama Islam yang terulung di rantau ini.
Melaka terus terkenal sebagai pusat perdagangan Melayu di Timur. Antara barang dagangan yang boleh didapati di Melaka adalah sutera dan porselin dari China, kain dari Gujerat serta Coromandel di India, kapur barus dari Borneo, cendana dari Timor, buah pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas dan lada hitam dari Sumatera serta timah dari Tanah Melayu.

UJI MINDA: Melaka telah menjadi pusat perdagangan yang paling sibuk di Asia Tenggara pada zaman dahulu.Ramai pedagang pelbagai bangsa tinggal di Melaka.Pada pendapat anda bagaimana hubungan antara kaum di Melaka pada masa itu?

MELANCONG KE MELAKA - MAKAM HANG JEBAT

Makam Hang Jebat

Makam Hang Jebat bertempat di Kampung Pali, berdekatan Jalan Gelanggang di Bandar Melaka. Hang Jebat merupakan seorang wira terkenal semasa Kesultanan Melayu Melaka. Beliau merupakan salah seorang daripada empat sahabat rapat Hang Tuah.Namun begitu, Hang Jebat akhirnya dibunuh oleh Hang Tuah dalam pergaduhan yang memakan masa 3 hari dan 3 malam. Demi keadilan terhadap hukuman Sultan yang berat sebelah ke atas Hang Tuah, Hang Jebat dituduh sebagai seorang penderhaka kepada Sultan. Perbalahan ini menimbulkan tanda tanya tentang moral Hang Jebat terhadap pihak berkuasa dan mengenai Hang Tuah yang menurut perintah Sultan walaupun kesalahan Hang Jebat ialah untuk membela nasib Hang Tuah.

UJI MINDA : Jika anda mengikuti kisah Hang Jebat menderhaka kepada Sultan dan Hang Tuah yang taat setia kepada Sultan apakah pengajaran yang anda boleh dapati daripada kisah ini?

MELANCONG KE MELAKA- MAKAM DOL SAID

Makam Dol Said
Dol Said atau nama penuhnya Dato’ Abdul Said merupakan seorang pemerintah kesembilan Naning di Melaka. Beliau membantah pengenaan cukai ke atas daerahnya oleh British dan ini menyebabkan konflik yang dikenali sebagai Perang Naning, yang berlaku pada 1831.Beliau menggunakan kebijaksanaannya dan dengan bantuan daripada perikatan Melayu yang lain, termasuk Seri Menanti, Sungai Ujong, Johol dan Muar, beliau telah dapat mengalahkan pihak British dalam serangan pertamanya.

Dalam serangan kedua, Naning tidak berjaya mendapat bantuan daripada jiran-jirannya malah Yam Tuan Muda Raja Ali di Rembau membantu pihak British dengan menghantar 600 orang bagi mengukuhkan tentera mereka. Dol Said terpaksa berundur ke Sri Menanti dan seterusnya menyerah kalah, sekali gus mengakhiri perang tersebut. British menggabungkan Melaka dan Naning dan Dol Said diberikan tempat tinggal di Melaka. Dol Said dan orang Naning telah dikhianati oleh orang Melayu Rembau. Cerita Perang Naning ini tidak dibesar-besarkan walaupun orang Melayu yang memenangi Perang Naning Pertama dan British pada masa itu merupakan kuasa dunia yang sebenarnya. Perang ini menjadikan Dol Said seorang wira dalam sejarah Melayu.

UJI MINDA : Senaraikan empat nama pahlawan Melayu dan negeri kelahirannya yang berjuang menentang penjajahan British di tanah Melayu pada zaman dahulu?

MELANCONG KE MELAKA-MAKAN HANG KASTURI


Makan Hang Kasturi
Hang Kasturi merupakan salah seorang pahlawan lima bersaudara yang terdiri daripada Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Reka bentuk Makam Hang Kasturi banyak dipengaruhi seni bina India, yang mana terdapat ruang-ruang untuk menempatkan pelita untuk menerangi makam tersebut. Makamnya juga dalam bentuk bertingkat sederhana besar, tidak seperti makam-makan berukuran panjang yang dianggap keramat.

UJI MINDA : Pada pendapat anda, bagaimana tahap persahabatan pahlawan lima bersaudara yang diketuai oleh Hang Tuah pada masa dahulu?

MELANCONG KE MELAKA - PERKAMPUNGAN PORTUGIS


Perkampungan Portugis

Perkampungan Portugis juga dikenali sebagai Mini Lisbon. Ia terletak 5km dari Bandar Melaka iaitu di Ujong Pasir, Melaka. Perkampungan ini mempunyai kira-kira 1,500 orang yang terdiri daripada 116 buah keluarga yang berbangsa Portugis dan mula bertapak di Melaka pada tahun 1930. Perkampungan ini meliputi keluasan 13 ekar dengan 8 ekar daripadanya terdiri daripada penempatan penduduk dan selebihnya telah didirikan sekolah, padang dan taman permainan kanak-kanak.  Ia merupakan sebuah perkampungan yang unik mengenai kehidupan masyarakat Portugis pada abad ke-16 dan mereka masih mengamalkan bahasa, budaya, lagu dan tarian Portugis sehingga hari ini.

UJI MINDA : Apakah  lagu tradisional masyarakat Portugis yang popular sehingga ke hari ini ?

MELANCONG KE MELAKA - MAKAM HANG TUAH


Makam Hang Tuah

Hang Tuah merupakan seorang pahlawan Melaka di mana kisah keberaniannya terbukti apabila semasa remaja lagi dengan tanpa bantuan sesiapa, beliau telah dapat menangkap seorang lelaki yang mengamuk di Kampung Duyong. Kehebatan ini sampai ke telinga Sultan dan Hang Tuah dipanggil ke istana untuk dijadikan pahlawan termuda berkhidmat dengan Melaka. Kebolehannya yang cemerlang membuatkan beliau bersama empat sahabatnya legenda dalam sejarah Melaka.
Walaupun terdapat beberapa hikayat bahawa Hang Tuah hilang begitu sahaja dan terdapat yang mengatakan Hang Tuah meninggal dunia di Perak. Sejarah Melayu daripada tulisan Tun Seri Lanang, yang dianggap sahih dalam pengisahan Sejarah Melayu, mengatakan Hang Tuah meninggal dan dikebumikan di Tanjung Kling dengan penuh adat istiadat.

MELANCONG KE MELAKA-PERIGI HANG LI PO


Perigi Hang Li Po (Perigi Raja)

Perigi Raja (Perigi Hang Li Po) ini dibina pada tahun 1459 dibawah arahan Sultan Mansor Shah kepada isteri beliau, Puteri Hang Li Po, seorang puteri dari negara Cina. Perigi ini tidak pernah kering dan merupakan satu-satunya punca air semasa musim kemarau. Pihak Belanda membina tembok disekelilingnya pada tahun 1677 untuk memeliharanya sebagai perigi permintaan (wishing well).Ada yang berkata bahawa mereka yang melontar duit syiling ke dalamnya akan kembali ke Melaka pada masa depan. Perigi ini terletak di Jalan Puteri Hang Li Po.

UJI MINDA : Mengikut kisah sejarah Melaka ,satu rombongan kerajaan Melayu Melaka telah ke sana untuk menjalin persahabatan dengan Maharaja China.Apabila tiba di istana Maharaja China, baginda tidak membenarkan ahli rombongan melihat puteri Maharaja.Bagaimana  rombongan Melaka ini membuat tipu helah untuk melihat puteri Maharaja China pada ketika itu?