Tuesday 6 December 2011

MELANCONG KE LANGKAWI





Makam Mahsuri
Makam Mahsuri terletak lebih kurang 12 kilometer di barat laut pekan Kuah. Pelancongan pelajar tidak akan lengkap tanpa melawat ke Makam Mahsuri - tokoh lagenda paling terkemuka di Langkawi, merupakan wanita cantik jelita dan telah difitnah melakukan perkara curang terhadap suaminya.. Mengikut lagenda, beliau telah membuktikan kesuciannya dengan mengalirkan darah berwarna putih apabila dia dihukum bunuh. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Mahsuri telah bersumpah bahawa Langkawi akan ditimpa bencana dan tidak akan aman makmur selama tujuh generasi. Kini tujuh generasi telah pun berlalu dan sekali lagi Langkawi telah dilimpahi dengan kemakmuran dan pelbagai projek pembangunan. Kompleks Makam Mahsuri merupakan tapak persemadian Mahsuri. Di sekitar kawasan kompleks ini terdapat kedai-kedai menjual cenderamata dan gerai-gerai makanan. Terdapat juga pertunjukkan yang memaparkan cara hidup ``Langkawi lama'' seperti cara memproses padi, muzik tradisional serta istiadat `berendoi' untuk tontonan para pelancong.


Taman Buaya

Taman Buaya Langkawi terletak di Jalan Teluk Datai, Langkawi iaitu  kira-kira 32 kilometer di utara pekan Kuah.Didaftarkan dengan The Convention on International Trade and Endangered Species (CITES), ladang ini meliputi kawasan seluas 20 ekar. Di taman ini terdapat lebih daripada 1,500 ekor buaya terdiri daripada pelbagai jenis. Ladang zoologi ini merupakan kawasan `penempatan' reptilia buatan yang terbesar di Malaysia.Para para pelawat boleh menyaksikan pelbagai pertunjukan buaya pada waktu-waktu tertentu. Dibuka setiap hari 9 pagi sehingga 6 petang.Persembahan yang memikat pelawat ke sini ialah persembahan memberi makan buaya yang diadakan pada jam 11.00 pagi dan 2.00 petang.

Padang Mat Sirat


Padang Mat Sirat merupakan satu lagi tempat menarik di Pulau Langkawi. Terletak lebih kurang 18 kilometer dari Pekan Kuah, padang ini merupakan tempat simpanan beras kira-kira 200 tahun lalu.Apabila Siam menyerang Langkawi, penduduk kampung telah membakar hasil tuaian padi dan simpanan beras mereka untuk mengelakkan jatuh ke tangan musuh. Sehingga kini, beras terbakar masih boleh dilihat di Padang Mat Sirat terutama selepas hujan lebat.

Taman Laut Pulau Payar
 Dianggap sebagai taman marin yang terbaik di Malaysia. Di perairan Pulau Payar yang jernih seperti kaca, ia dikelaskan sebagai taman karang yang terindah. Pulau Payar adalah salah sebuah daripada 99 kepulauan di Langkawi.  Pengalaman anda  bermula dengan perjalanan dari Kuah. Perjalanan mengambil masa 45 minit dengan catamaran yang berhawa dingin, yang boleh memuatkan 162 penumpang sekaligus.Anda akan dibawa ke platform karang bersaiz 49 meter X 15 meter. Di platform berkenaan disediakan bahagian kaca untuk mencerap keindahan di dasarnya, bot kaca, dan peralatan menyelam. Segala pakej kemudahanini membolehkan pengunjung daripada semua peringkat umur - termasuk yang tidak tahu berenang - untuk melihat dengan dekat keindahan batu karang dan fauna lautan. Pulau Payar juga merupakan taman laut yang pertama diwujudkan di pantai barat Semenanjung Malaysia. Pulau Payar kaya dengan pelbagai floradan fauna serta spesies organik laut yang menarik. Ia menawarkan pantai yang putih bersih dan kejernihan air laut yang dapat memikat hati setiap pengunjung ke sana.
Galeri Perdana
 Galeria Perdana dibina dengan idea asal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali. Ia ditubuhkan untuk menempatkan, mempamerkan dan berkongsi dengan rakyat pelbagai jenis anugerah, cendera mata dan pemberian para pemimpin dunia dan tokoh-tokoh kepada Dr. Mahathir kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Ini selaras dengan semangat bahawa apa yang dipamerkan di Galeria Perdana adalah juga milik rakyat dan kerajaan Malaysia. Galeria ini dibuka dengan rasminya pada 3 Disember 1995. Binaannya ialah bangunan dua tingkat yang meliputi kawasan seluas 5,332.74 meter persegi.Bahan-bahan pameran disusun dengan kemas dan teliti supaya ia bersebati dengan suasana harmoni dan kreatif bahan-bahan yang mempunyai nilai budaya seluruh dunia.Bangunan ini dibahagikan kepada Blok A dan Blok B. Setiap blok mempunyai dua tingkat ruang pameran.

Air Terjun Durian Perangin
Air terjun Durian Perangin terletak di batu 9 ke utara pekan Kuah. Jalan ke air terjun bermula dari sini. Air terjun ini mengalir deras beberapa meter ke dalam kolam yang jernih. Kesegaran suasana persekitaran yang dipenuhi kehijauan membuatkan tempat ini sungguh menawan terutama kepada para pencinta alam semulajadi.

Dataran Lang
Dataran Lang merupakan mercu tanda yang baru di Langkawi. Ia terletak berhampiran dengan jeti Kuah. Terdapat sebuah tasik yang indah, restoran, jejambat, jeti dan teres yang berbumbung. Kedudukannya yang berdekatan dengan pantai menjadikan ia sebuah dataran yang menarik untuk pengunjung menikmati makan malam yang indah. Di samping itu, pertunjukan kebudayaan juga diadakan di sini. Tarikan utama dataran tersebut ialah arca seekor burung helang. Menurut lagenda,Langkawi mendapat nama daripada nama ``lang'' yang merupakan nama pendek bagi helang. Manakala `kawi' mengikut istilah Melayu kuno bermaksud coklat. Oleh itu,Langkawi bermaksud helang coklat. Dataran tersebut amat indah terutama pada waktu malam. Arca helang ini terletak di tempat strategik bagi mengucapkan selamat datang kepada pengunjung.

No comments:

Post a Comment